Nov 28, 2010

Allah Sentiasa Betul! (^_^)

Kadang-kadang Allah patahkan semangat kita untuk selamatkan jiwa kita.

Dia patahkan hati kita untuk membuatkan kita lebih bersemangat.

Dia memberi kita sakit supaya kita menjadi lebih kuat.

Dia memberi kita kegagalan untuk membuat kita rendah diri.

Dia menghantar penyakit supaya kita boleh menjaga diri sendiri.

Kadang-kadang Allah mengambil segala-galanya dari kita supaya kita boleh belajar menghargai segala nikmat yang diberi oleh-Nya...

Moga tabah hati tak berbelah bagi! (^_^)


Nov 26, 2010

Dosa-dosa di Facebook

Hari ini semua orang memiliki akaun Facebook.Tidak kira siapa...sama ada pelajar,suri rumah,golongan prosfesional,penganggur dan setiap lapisan masyarakat. Bagi mereka yang tidak memiliki FB dikatakan ketinggalan zaman.Inilah keadaannya masyarakat sekarang. Namun,kita harus ingat bahawa setiap apa yang kita lakukan bergantung kepada niat masing-masing.

Tanpa kita sedari sebenarnya FB banyak mengundang dosa dalam kehidupan seharian.Di sini saya ingin berkongsi hasil tulisan Ustaz Zaharuddin di blognya berkenaan "Dosa-dosa di Facebook". Moga kita sentiasa beringat dan mendapat pengajaran darinya....

* * * * * * *
Menurut beliau.....

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Tertekanlah sang suami atau isteri.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca’ dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin’ dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran’ nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina’.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini.

3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend’ seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah’ difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa’ yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan …’DOSA’. Simpan sahajalah gambar-gambar ‘kiut’ (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke’kiut’an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend’ menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di’tag’, akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a – Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b – Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid’, tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di’tanda’ boleh dengan segera delete ‘tag’ itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged’ nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c – Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang’ yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem’, ‘zaman solehah’, ‘waktu innocent’, zaman-zaman suci’, ‘itu zaman kuno dulu’, ‘itu masa duduk bawah tempurung’ dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama ‘ukhuwah’ untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian.


Zaharuddin Abd Rahman.

www.zaharuddin.net


Nov 25, 2010

Kisah Luqman al-Hakim dan Anaknya

Pada suatu hari, Luqman al-Hakim dan anaknya pergi ke pasar di mana Luqman ingin memperlihatkan kepada puteranya perbandingan antara pandangan manusia dan pandangan Tuhan. Luqman dan anaknya membawa seekor keldai. Luqman naik ke atas keldai memandunya, sedangkan puteranya berjalan kaki mengiringi keldai tersebut. Waktu manusia melihat keadaan tersebut, maka mereka berkata,

"Inilah orang tua yang tidak kasihan kepada anaknya. Dia bersenangan di atas keldai, sedangkan anaknya berjalan kaki."

Maka Luqman menaikkan anaknya duduk di atas keldai bersama-sama dengannya. Luqman di depan anaknya di belakang. Tidak lama kemudian dilihat oleh manusia yang lain, mereka berkata,

"Wah! Dua orang di atas keldai. Kenapa tidak dinaiki tiga orang sekaligus? (Supaya keldai cepat mati)."

Luqman pun turun dari keldai dan anaknya sajalah yang berada di atas keldai itu. Tidak lama kemudian manusia yang lain berkata pula,

"Wah! Orang tua berjalan kaki dan puteranya memandu keldai."

Mendengar itu anaknya turun dari keldai berjalan kaki beserta orang tuanya. Dilihat lagi oleh manusia, mereka yang melihatnya berkata,

"Keldainya kosong tidak dikenderai, dan aneh! Kedua orang ini hanya berjalan kaki saja mengiringi keldai!"

Dari kejadian ini Luqman secara langsung mengajar anaknya dengan kejadian yang terjadi sebagai pengalaman, bahawa demikianlah apabila kita memandang terhadap makhluk dan terpengaruh kerana makhluk. Hal yang demikian tak ada hasilnya dan tak ada faedahnya. Maksudnya, Luqman mengajarkan kepada anaknya bahawa hubungan yang menenteramkan jiwa dan menyenangkan hati ialah hubungan kita dengan Tuhan. Hanya semata-mata pandangan Allah dan bukan pandangan manusia. Meskipun lahiriah kita sendirian, tetapi pada hakikatnya kita berserta Tuhan. Inilah makna dari perkataan alim besar Muhammad bin Aslam radhiAllahu `anhu:

"Apa peduliku antaraku dengan makhluk, adalah pada permulaan dalam sulbi orang tuaku, aku sendirian, kemudian aku berpindah ke dalam perut ibuku, aku sendirian, kemudian aku masuk ke dunia juga sendirian, kemudian rohku dicabut, juga sendirian, kemudian aku pun masuk dalam kuburku sendirian pula dan datanglah kepadaku Malaikat-malaikat Munkar dan Nakir menanyakan pertanyaan-pertanyaan kepadaku dalam keadaan aku sendirian pula. Kemudian amal baikku dan dosaku ditimbang dalam timbanganku, juga aku sendirian. Andainya jika aku dikirim ke syurga, aku sendirian, dan jika dikirim ke neraka aku pun sendirian pula. Maka apakah hubungan dengan manusia-manusia selianku?"

"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan Syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah." (Luqman: 33)

Sekarang sudah jelas, bahawa lakukanlah apa yang kau putuskan dan semua itu mempunyai risiko, jangan terlalu takut dengan kritikan orang, sebab apapun yang anda putuskan tetap saja orang lain akan mengkritik bahkan anda diam pun akan dikritik, lakukanlah yang terbaik dengan risiko yang paling kecil. Cukuplah dengan pandangan Allah s.w.t atas kita. Pandangan Tuhanlah yang berfaedah . Penglihatan manusia atas kita, seperti menghormati kita, memuliakan kita, membesarkan kita dan lain-lain lagi. Cukupkan saja dengan pandangan hati, keyakinan hati bahawasanya Allah s.w.t melihat kita, memelihara kita dan menjaga kita.

Apa gunanya mengharapkan amal bakti dan taat dengan balasan wang ringgit atau keselesaan hidup di dunia ini sedangkan diri berada dalam kemurkaan Allah. Dan tidaklah bererti ketinggian ilmu yang dimiliki di samping kedudukan yang mulia di sisi makhluk sekiranya diri berada dalam pandangan kemurkaan dari Allah.

Pendek kata buatlah apa sahaja kebaikan dan ketaatan dan milikilah apa sahaja kesenangan dan keselesaan hidup, tetapi jika ianya tidak mendapat keredhaan dari Allah Taala atau mencari kemuliaan supaya dihormati orang, maka tidaklah berbaloi segala usaha dan pemilikan yang diterima.

Dengan demikian fahamilah wahai diri

Biarlah amal sedikit, atau ilmu yang sedikit asalkan Allah sentiasa meredhai hal diri kita,

Biarlah tidak masyhur, hina dan keji pada pandangan manusia asalkan Allah meredhai kita;

Biarlah hidup sederhana atau melarat dan terpenjara di dunia ini, asalkan hal diri kita sentiasa dalam keredhaan Allah.

Cukuplah.....dan memadailah dengan keredhaan Allah itu kerana tidak ada apa lagi yang lebih baik selain daripada mendapat keredhaan Allah

Dari Ibnu Abbas radhiAllahu `anhu, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah sollallahu `alaihi wasallam (boncengan), lalu baginda bersabda: "Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana ke atas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku." (Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi)

Kandungan nasihat ini mengandungi dua pengajaran:

  1. Mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.
  2. Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Kecuali dalam hal-hal biasa yang termampu dikerjakan oleh manusia, seperti mengangkat suatu barang, meminjam sesuatu dan lain-lain. Namun demikian kita juga mesti memohon kepada Allah agar dipermudah jalan untuk mendapatkannya. Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya.

Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah:

Rasul sollallahu `alaihi wasallam menerangkan kepada Ibnu Abbas radhiAllahu `anhu bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Luh Mahfudz sejak azali.

Oleh sebab itu kita tidak seharusnya terlalu gembira atau berduka terhadap sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kerana kita yakin bahawa segala-galanya adalah di dalam ketentuan Allah. Kalau di dalam ketentuannya tidak ada keputusan untuk memberikan sesuatu kepadanya, nescaya dia pasti tidak akan dapat memperolehinya walaupun seluruh makhluk bersatu berusaha untuk menolongnya. Demikian sebaliknya kalau ditentukan bahawa ia akan mendapatkannya, walaupun seribu halangan, pasti ia akan memperolehinya juga.

Allah berfirman: Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidak ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika dia mahukan kebaikan kepada engkau maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya itu. (Yunus: 107)


Segalanya Demi ALLAH



Dengan nama Allah... sebaik-baik Pemberi Ganjaran.

Namamukah yang tertulis di luh mahfuz sana?
Engkaukah yang bakal menemaniku jalan menuju syurga?
Dirimukah yang akan melengkapkan separuh dari agamaku?


Adakah kau yang tercipta untukku?

Jawab pertanyaanku ini.

Jawab!

Kau takkan pernah dapat memberi jawapan,
Kerna jawapannya bukan di tanganmu,
Tetapi di tangan-Nya.
Di tangan Tuhan kita; Allah,
Tuhanku dan Tuhanmu.

Gelisahku memikirkan dirimu,
Dan ketakutanku memikirkan Tuhanku,
Aduhai Adam,
Maafkan aku,
Ketakutanku pada Tuhanku melebihi kegelisahanku memikirkanmu.

Jemput diriku apabila waktunya tiba,
Sebelum sampai saat itu, biarkan aku sendiri bersama Si Dia,
Akan kucipta cinta bersama Dia,
Sebelum kucipta cinta antara kita.

Jadilah dirimu kumbang yang hebat,
Dan doakan aku agar menjadi bunga yang mekar,

Untuk itu, Aku tinggalkan dirimu pada-Nya

Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu,
Tidak ada suatu binatang melata melainkan Dia-lah yang memegang ubun-ubunnya,
Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.

Usah bersedih atas perpisahan sementara ini,
Jika benar aku tercipta untukmu,
Tiada apa yang dapat menghalangnya,
Sebelum saat itu tiba,
Berdoalah pada Allah moga diberi kekuatan,
Mohonlah padanya dengan penuh mengharap.

Yakinlah pada janji Allah!

Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga) [Surah An Nur: 26]

Sesungguhnya Allah takkan pernah mensia-siakan pengorbananmu,
Bilamana kita tinggalkan semua ini kerana Allah semata,
Yakinlah!
Akan ada sesuatu yang indah untukmu di pengakhiran nanti.

Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu,
Daripada yang sekarang (permulaan),
Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan karunia-Nya kepadamu ,
Lalu (hati) kamu menjadi puas.
[Surah Ad dhuha: 4 & 5]

Beruntunglah kamu!

Tatkala Allah memilihmu untuk menyedari hakikat perhubungan antara lelaki dan wanita

Allah memilihmu!
Jangan pernah sia-siakan kasih sayang Allah ini.

Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu
Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya
[Surah As Syams: 8-10]

Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan:
"Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka,
Maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan:
"Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih;
dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu
[Surah Fussilat: 30]

Dan tika kamu merasa lemah,
Mohonlah kekuatan dari-Nya,
Allah itu dekat,
Yakin pasti.

Dan jika syaitan mengganggumu dengan suatu gangguan,
Maka mohonlah perlindungan kepada Allah,
Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [Surah Fussilat: 36]

Kamu dan aku adalah intan terpilih,
Berdoalah aku kuat dan tabah untuk menjaga kilauanku,
Berdoalah tiada sang kumbang durjana merosakkannya sebelum yang halal tiba,
Aku juga sentiasa mendoakanmu agar dalam peliharanya,
Sentiasa.


Artikel yang dipetik dari iluvislam.com.


:: Nota buat kamu: 'Kita' masih belum dipertemukan,namun aku yakin dan kamu juga harus yakin saat itu pastikan tiba...Pergunakanlah setiap saat ini sebaiknya...lakukanlah yang terbaik buat Tuhanmu dan agamaNya...hingga saat yang sesuai itu tiba,saat itulah kita akan dipertemukan,dan insyaAllah pada tika itu kita benar-benar bersedia untuk disatukan! Persiapkanlah dirimu sebaiknya....moga Allah redha!

Nov 22, 2010

10 Wasiat asy-Syahid Hassan al-Banna


1. Dirikanlah solat ketika mendengar azan, walau bagaimana sekalipun keadaanmu.

2. Bacalah al-Quran, pelajari, dengarkan atau ingatilah ALLAH. Jangan mensia-siakan walau sedikit pun dari waktumu tanpa sebarang faedah.

3. Berusahalah untuk berbicara dalam bahasa Arab yang fasih kerana hal itu adalah sebahagian daripada syiar Islam.

4. Janganlah memperbanyakkan perdebatan walau dalam urusan apa pun kerana perdebatan itu tidak membawa kepada sebarang kebaikan.

5. Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubungan dengan ALLAH sentiasa tenang dan berwibawa.

6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang berjihad tidak mengenal kecuali kesungguhan.

7. Janganlah meninggikan suara melebihi keperluan pendengar kerana hal tersebut bodoh dan menyakitkan.

8. Jauhilah dari membicarakan hal orang lain (ghibah), atau mencela persatuan-persatuan. Janganlah engkau berbicara melainkan hal kebaikan.

9. Perkenalkanlah dirimu kepada saudara-saudaramu yang engkau temui sekalipun tidak diminta, kerana asas dakwah kita ialah kasih sayang dan berkenalan.

10. Kewajipan lebih banyak dari waktu, maka bantulah saudaramu memanfaatkan waktunya. Jika engkau memiliki suatu tugas, selesaikanlah dalam waktunya (jangan bertangguh).

Nov 20, 2010

.:Hidup:.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang....

Alhamdulillah,setinggi syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana diberikan sedikit ruang dan kudrat untuk terus menghidupkan blog usang ini. Subhanallah,alhamdulillah,Allahuakhbar! Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w,kaum kerabat baginda,para sahabat,para tabi' dan taba'ien,mujahid dan mujahidin serta alam dan seisinya. Moga rahmat Allah sentiasa bersama kita.

Dan telah tiba saat yang ditunggu2...musim cuti semester@cuti sekolah kembali lagi. Cuti kali ini agak panjang...maka yang bermain2 di fikiran,mahu diisi dengan apa cuti kali ini? Seharusnya masa terluang yang dikurniakan tidak disia2kan dengan perkara yang tidak bermanfaat.Oleh itu,harus dirancang cuti kali ini agar digunakan sebaiknya.

Baru beberapa hari bercuti,kebosanan sudah mula terasa. Waktu2 cuti begini,pastilah banyak undangan perkahwinan. Itu salah satu agenda cuti. Makin menginjak dewasa,makin banyaklah undangan yang bakal diterima. Dan,aku perlu bersedia mentally agar perasaan 'terkejut' itu tiada lagi. Baru2 ini agak 'terkejut beruk' apabila dikhabarkan berita pertunangan seorang sahabat baik yang terdekat. Alhamdulillah,sekalung tahniah buat beliau...(nama terpaksa dirahsiakan) kerana seelok-eloknya dirahsiakan pertunangan tetapi dihebahkan perkahwinan [ Awas! Jangan terbalik!! ^_^]

Jalan hidup tiap seorang itu berbeza-beza. Begitu juga jodoh.Jalan jodoh kita juga berbeza. InsyaAllah,aku yakin dalam diri setiap insan inginkan jodoh yang baik. Bagi diriku sendiri,jalan mendapat jodoh itu juga harus baik.Diberkati.Bagaimana? Definisi 'baik' itu bagiku apabila sepanjang jalan sebelum ikatan suci itu termeterai,pasangan "sangat menjaga" dan tidak berlumur maksiat! Kita sendiri tahu bagaimana.....kn? Ada sesetengah orang,disatukan melalui perantaraan orang tengah. Bertunang dan terus berkahwin.Keluarga memainkan peranan. Ada juga yang berkahwin melalui Baitulmuslim dgn slogan "Di Jalan Dakwah Aku Menikah". Dan banyak lagi...jalan takdir itu hanya Allah yang tahu.Bila dan bagaimana? Terserah pada-Nya...namun mudah2an Dia mengurniakan yang terbaik buat kita! Ameen.

" Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." ( Surah Al-'Asr : 1-3)

Hargailah masa yang ada.Manfaatkan setiap saat yang ada dengan sebaiknya. Gunakanlah masa ini untuk memperbaiki diri. Selagi namanya manusia tiada yang sempurna termasuklah aku. Banyak sisi-sisi kelemahan yang harus diperbaiki. Inilah masanya! Beberapa aktiviti yang dirancang bersama kawan2,mudah-mudahan terlaksana.InsyaAllah.Moga Allah mengurniakan ganjaran yang besar untuk setiap saat yang terisi itu.Ameen.

Belum terlambat untuk mengucapkan Salam Aidiladhha 1431H dan Selamat Bercuti buat semua...kullu'am wa antum bikhair...

Nov 7, 2010

.:. Memaafkan Untuk Syurga.:.

Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia.

Jika kita seorang ibu yang bekerjaya, selalunya kita akan berhadapan dengan suami, anak-anak, rakan sekerja dan ramai lagi.

Pastinya dalam hubungan itu, kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham.

Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan.

Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."

Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk.

Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.

Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.

Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.

Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."

Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."

Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.

Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.

.:. Demi syurga aku memaafkan,kerana aku juga ingin tenang dan hidup bahagia di dunia & akhirat.....insyaAllah....Mohon pada semua,maafkanlah aku atas segalanya.....Semoga Allah redha!


Nov 2, 2010

Something...

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani...

02.11.2010

Hari ini bakal tiba ke penghujungnya. Subhanallah,alhamdulillah,Allahuakhbar! Segala puji bagi Allah,syukur atas segalanya...... Alhamdulillah,berada dekat dengan keluarga,dlm keadaan yang agak 'lemah',sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan rasa yang tidak sepatutnya itu. Astaqfirullahal'azim...nau'zubillahiminzaalik!

"Tuhan,berikan aku kekuatan yang secukupnya utk ku menghadapi hari2ku......."

Banjir. Mahu pulang ke bumi Perlis,namun nampaknya keadaan sedikit sebanyak tidak mengizinkan. Bagai tidak percaya,Perlis banjir! Kangar juga! Ya Allah....tadi ambil sedikit masa tinjau2 keadaan di sana melalui fb (kononnya menggunakan kemudahan yang ada dgn sebaiknya...~cheewah!) Rancang2 mahu pulang esok,tapi nampak gayanya perlu dipostpone ke hari yang lain.huhu Don't worry,pasti ada hikmahnya yang tersembunyi..[optimist!:)]

Exam is around the corner! Untuk semester ni ada 3 papers.(9/11,10/11 & 15/11). Ya Allah,sepatutnya sekarang mood exam...tp aku? huhu Di manakah kamu ,wahai exam mode?? Datang2lah....cepat........i have to study!....insyaAllah......moga dipermudahkan segalanya.....

Sekarang musim exam. All the best to all my friends and good luck!

Hari ini juga,aku dikhabarkan dengan suatu berita sedih.:( Pemergian ayahanda sahabatku,Wan Maizatul ke rahmatullah....Salam takziah buat Wan sekeluarga.Moga ukhti kuat menghadapi dugaan ini.Moga arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para solehin...[actually i really miss abah!huhu T__T] Alhamdulillah,petang tadi sempat menziarahi Wan sekeluarga...and she looks ok!:) i know u'r strong!

Again and again....agaknya bila penghujungnya? Banyak persoalan yang bermain di benakku namun jawapan yang kucari tidak jua kutemui.Ya Allah.....hanya Kau yang tahu,hanya Kau jualah yang mengerti....bagaimana lagi harus aku lakukan agar ketenangan yang dicari menjadi milikku yang abadi....

Mohon petunjuk-Mu di setiap langkahku.

Moga hari esok lebih bersinar memadamkan segala kegundahan di hati.

Ya Allah,redhailah aku!