Showing posts with label ISLAMIC. Show all posts
Showing posts with label ISLAMIC. Show all posts

Feb 3, 2011

.: Amalan :.


1. Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan dikabulkan – Riwayat Tirmidzi. Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.

2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitunganya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dan sebagainya dalam dirinya.

4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

5. ALLAH S.W.T akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat farhdu.

6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi S.A.W membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru diambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang berniat mandi(untuk solat jumaat) kemudian memakai pakaian terbaik dan wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.

9. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.

10. Uthman bin 'Affan R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W apabila berwuduk, beliau membasahi janggutnya- Riwayat Tirmidzi

11. Nabi S.A.W tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, baginda makan dan sebaliknya baginda tinggalkan- Riwayat Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.

12. Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi S.A.W makan dengan menggunakan 3 jari(ibu jari telunjuk dan tengah)-Riwayat Muslim. Jarang sekali baginda makan dengan menggunakan 4 atau 5 jari kecuali ada keperluan.

13. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa berselawat walaupun sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH S.W.T seperti yang dihadapi oleh para Nabi.

14. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

15. Perbaharui wuduk setiap kali bersolat kerana padanya terdapat banyak fadhilat.
Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya- Riwayat Abu Dawud.

16. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

17. Nabi S.A.W sering menghadap ke kanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum.

18. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardhu.

19. Nabi S.A.W tidak makan sambil bersandar- Riwayat Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi mengelakkan dirinya terlalu kenyang dan memudahkan penghadaman.

20. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali setiap selesai solat subuh, Maghrib dan Isyak, ALLAH S.W.T akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

21. Nabi S.A.W sering beristinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya). Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.

22. Setelah bersolat Nabi S.A.W memohon ampun ( astagfirullahal'aziim) tiga kali-Riwayat Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi S.A.W adakalanya beristighfar 75 kali sehari.

23. Sesiapa yang menamalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, ALLAH S.W.T akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

24. Apabila Nabi S.A.W tidur, ia mendahulukan baring mengiring sebelah kanan – Riwayat Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah.

25. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH S.W.T segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNYA.

26. Tika Nabi S.A.W tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu ke seluruh tubuh)mohon perlindunganNYA) – Riwayat Bukhari

27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan ALLAH S.W.T.

28. Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi S.A.W menyarankan, cukup dengan membersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur.

29. Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

30. Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith: Sahabat melihat Nabi S.A.W berbaring di masjid dengan satu kakinya atas kaki yang lain (kerana bimbang terdedah aurat) – Riwayat Bukhari

31. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafa'at (pertolongan) daripada baginda S.A.W.

32. Adakalanya Nabi S.A.W amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah) – Riwayat Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh.

33. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi S.A.W dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

34. Setelah bersolat Nabi S.A.W memohon ampun (astagfirullahal'aziim) tiga kali – Riwayat Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi S.A.W. adakalanya beristighfar 75 kali sehari.

35. Nabi seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi S.A.W memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) – Riwayat Bukhari

36. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali setiap selepas menunaikan solat asar pada hari Jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

37. Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi S.A.W bersin, beliau meletakkan tangan atau pakaiannya di mulut (kerana dibimbangi terpercik) – Riwayat Abu Dawud

38. Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas rahmatNya.

39. Sabda Nabi S.A.W: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Riwayat Abu Naim

40. Nabi S.A.W tidak pernah menolak hadiah. Hadith: Nabi selalu terima hadiah dan amat menghargainya – Riwayat Bukhari

41. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH S.W.T akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

42. Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu dan jangan kamu sukarkannya – Muttafaq 'Alaih

43. Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith: Apabila kamu sekalian melihat jenazah ( yang diusung), maka berdirilah (sebagai tanda penghormatan) – Muttafaq 'Alaih

44. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tidak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

45. Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi S.A.W sering melakukannya ketika beroleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH S.W.T– Riwayat Abu Dawud

46. Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH S.W.T akan hajatnya.

47.Memberi salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi S.A.W (apabila mendatangi rumah sahabat) memberi salam hingga 3 kali – Riwayat Bukhari. Jika salamnya tidak berjawab, baginda beredar.

48. Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

49. Melakukan pekerjaan rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah- Riwayat Ad-Dailami

50. Para ulamak berpendapat, ALLAH S.W.T sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

Dipetik dari www.murabbi.net.

Dec 21, 2010

Jika Semuanya Milik Allah.. Apakah Sebenarnya Yang Aku Ada ?

Suatu hari sang guru bertanya kepada murid-muridnya.

Siapa yang jadikan mata kita?

Mereka menjawab : Allah

Lalu sang guru katakan : Lalu apakah yang telah kita perbuat dengan dua biji mata ini ? Adakah sebagai alat untuk melihat perkara yang baik ataupun perkara yang jahat ?

Mereka : (terdiam)

Sang guru tambahi lagi : Apa yang akan jadi sekiranya penglihatan ini diambil oleh-Nya? Selama ini Allah memberi nikmat mata untuk melihat pemandangan yang cantik dan indah. Alam ini dilimpahi dengan pelbagai warna yang menarik hati serta pelbagai hidupan yang menghiasinya.

Suatu hari nanti... jika kita bangun. Alam ini terasa gelap dan pekat. Rupa-rupanya sudah hilang nikmat penglihatan yang diberikan. Sedangkan selama ini kita tidak bersyukur dengan pemberian-Nya. Adakah selepas ini baru hendak menyesal?

Cuba awak rasa lidah dengan menggunakan jari.

Mereka : (memegang lidah masing-masing)

Sang Guru berkata : Allah memberi rasa masam, masin, manis, pahit dan pelbagai lagi rasa yang berlainan melalui lidah.

Mereka kata : Ya Ustaz.. benar (masing-masing menganggukkan kepala).

Sang Guru berkata : Tetapi mengapa kita gunakan lidah untuk berkata kesat, memaki hamun dan berkata bohong? Bukankah dengan lidah ini kamu pernah menghina guru-guru yang mengajarkanmu? Bukankah dengan lidah ini kamu telah membentak dan menjawab kata-kata ibu dan ayahmu serta berkali-kali membohongi mereka berdua?

Bukankah sudah diperingatkan oleh Rasulullah s.a.w. agar menjaga lidah ? Bukankah kita perlu menjaga apa yang ada di antara 2 rongga mulut manusia iaitu lidah ? Dengan lidah ini juga boleh menyebabkan kita dicampakkan ke dalam neraka?

Mereka : (tertunduk dan perlahan-lahan mengalirkan air mata)

Cuba lihat dua tangan yang Allah beri, dan lihat baik-baik alangkah cantiknya kurniaan Allah.
Dia memberi tangan agar kita dapat merasa, memegang, menyentuh dan sebagainya.

Mereka : (melihat tangan masing-masing, diperhati telapak tangan sambik berfikir)

Sang guru berkata : Adakah kita sudah menggunakan tangan dengan betul? Bukankah ada tangan-tangan yang merosakkan meja sekolah? Memukul kawan? Menulis surat cinta? Mencuri ?

Mereka : Benar ustaz... ya Allah... ampunkanlah dosa kami....

Sang Guru : Allah memberi sepuluh jari tangan, sepuluh jari kaki dalam keadaan yang sempurna. Sudahkah kita menadahkan tangan meminta keampunan kepada-Nya? Menyatakan syukur terhadap-Nya atas segala nikmat yang tidak mampu ditulis hatta kering 7 lautan?

Mereka : (Air mata semakin meluncur laju). Ya Allah... Aku sudah banyak buat dosa kepada-Mu.. Aku sombong pada-Mu Ya Allah.....

Lihatlah pula kedua kaki yang dikurnia oleh Allah. Kita boleh berjalan, berlari, bergerak dengan mudah ke sana sini.

Mereka : (memegang kaki masing-masing sambil mengusap-usap jejari kaki).

Sang Guru : Lalu apa yang kita perbuat dengan kaki yang ada? Kita gunakan untuk ponteng sekolah, pergi ke tempat-tempat maksiat, menendang kawan dan sebagainya. Adakah itu tujuan kaki kita dijadikan?

Mereka : (Menutup mata sambil teresak-esak, semakin kuatlah jerit tangis memikirkan kesalahan yang telah dilakukan selama ini).

Sang Guru : Jika Allah ambil balik mata kepunyaan-Nya? Jika Allah tarik balik kaki yang dipinjamkan-Nya? Jika Allah hilangkan rasa pada lidah? Jika Allah ambil satu jari dari apa yang kita ada?

Wahai diri... engkau faqir dan Allah itu Maha Kaya. Maka mengapa engkau masih menyombongkan diri kepada-Nya?

Artikel dipetik dari iluvislam.com.

Dec 7, 2010

.:Salam Maal Hijrah 1432:.


Sejarah Awal Muharam/Maal Hijrah

H
ari Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.

Kisah Hijrah

RASULULLAH
S.A.W berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah S.W.T sebagai rasul untuk seluruh umat manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah S.W.T supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraisy, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah
S.A.W mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam.

Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu. Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: "Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah." Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah
S.A.W walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya.

Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah
S.A.W. Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah S.A.W. Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah S.A.W bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah S.A.W keluar dari rumah itu. Rasulullah S.A.W dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakar, Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka,Abdullah .

Rasulullah
S.A.W dan Abu Bakar bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah S.A.W tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah S.A.W dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati. Allah S.W.T membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.

Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah S.W.T. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadiah kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah
S.A.W. Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah S.A.W dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira.

Setelah sekian lama, Rasulullah
S.A.W dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah S.A.W dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah S.A.W.Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah.

Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah
S.A.W akhirnya tiba di Quba, sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah S.A.W mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.

Kesan daripada penghijrahan Rasulullah
S.A.W dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam.

.: Selamat Menyambut Awal Muharam 1432...Moga memperoleh keberkatan dan keampunan daripada Allah s.w.t. InsyaAllah,esok lebih baik dari hari ini....Semoga Allah redha. Ameen.