Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts
Showing posts with label RENUNGAN. Show all posts

Feb 4, 2011

Ayuh Muhasabah!!! Mengapa Malas Beribadah?

Apakah kita pernah mengalami malas beribadah? Terasa berat untuk tilawah atau tidak merasakan kenikmatan ketika membaca Al-Quran atau solat? Atau mungkin merasa susah untuk bangun malam untuk qiyamulail? Sedangkan jam sudah diset untuk mengejutkan kita, alarm handphone juga sudah disetting tetapi ketika berdering kita tetap terlelap dalam tidur, hanya kedengaran seperti dalam mimpi dan akhirnya mati-mati sendiri atau bangun dengan setengah sedar, setelah itu menarik selimut untuk meneruskan tidur. Sedangkan biasanya dengan mudah boleh bangun.

Apa yang terjadi dengan diri kita?

Atau mungkin kita pernah merasakan mulut ini terasa berat ketika melantunkan ayat-ayat Al-Quran atau mengucapkan salam kepada saudara kita. Atau mungkin kita secara sengaja memperlambatkan waktu menunaikan solat, terkadang hati rasa meluat dengan rakan di pejabat kerana hal-hal yang kecil atau prasangka buruk. Terkadang kita melalui hari yang kita isytiharkan sebagai hari malang atau tiada mood. Dan makin malang lagi kita dengan sengaja melanggar titah perintah Allah swt.

Jika hal-hal seperti itu terjadi pada diri kita, maka segeralah kita evaluasi diri. Ada apa dengan diri kita? Keadaan seperti ini jangan dibiarkan begitu saja, lama-kelamaan akhirnya terbiasa. Seperti halnya penyakit, kalau sudah ada simptom-simptom segera berjumpa doktor dan memakan ubat agar segera sembuh. Begitu pula dengan ruhiyah kita, kalau sudah ada gejala ‘bermalasan’ dan penurunan anjakan ruhiyah maka segera kita muhasabah diri kita, bagaimana hubungan kita dengan Allah dan apa yang sudah kita lakukan?

Jangan-jangan kita banyak maksiat yang kita kerjakan hingga menghalangi amalan-amalan kita. Mungkin kita tidak boleh menjaga dari hal-hal yang makruh bahkan diharamkan oleh Allah sehingga menghalangi organ tubuh kita untuk beribadah kepada-Nya. Misalnya, kita menggunakan mata untuk menonton drama/filem yang melalaikan meski cuma satu atau dua jam. Mungkin mata kita tidak dijaga dari melihat hal-hal yang tidak berguna bahkan mengandung maksiat, akhirnya Allah pun tidak menjaga mata kita untuk beribadah padaNya. Lalu, mata kita malas untuk bangunkan kita solat malam, mata kita rasa berat untuk beribadah, rasa berat untuk membaca buku-buku tazkirah hati, rasa berat untuk melihat email-email yang memberi nasihat.

Selain mata, telinga juga perlu kita jaga. Boleh jadi kita susah bangun malam untuk bertaqarub kepada Allah swt kerana kita tidak menjaga telinga kita. Telinga kita digunakan untuk mendengar gosip atau muzik-muzik melalaikan bahkan terkadang boleh terngiang-ngiang dalam memori kita kerana seharian yang didengari adalah muzik-muzik itu, dangdutlah, bollywoodlah, lagu cintanlah, lagu sayulah dan semacam lagi. Akhirnya malamnya telinga kita tidak mampu kedengaran dering jam bahkan suara adzan, telinga kita rasa berat untuk mendengar tazkirah dan telinga rasa bosan mendengar nasihat. Na’udzubillah.

Selain itu mulut tak kalah pentingnya untuk dijaga. Kerana mulut itu pula yang banyak menjerumuskan manusia terutama wanita ke dalam neraka, Na’udzubillah. Kerana mulut boleh menjadi sarana gibah, fitnah, caci-maki, dan sebagainya. Mulut kita jika tidak dapat dikawal, ia seumpama air mengata-ngata perilaku orang lain. Kita kenal pun tidak dengan si pulan tu, tetapi mulut kita syoknya mengatakan mereka. Mulut kita juga rasa berat nak berzikir, tak terkeluar dari mulut. Mengapa ya?

Selanjutnya adalah hati. Ini adalah bahagian terpenting yang perlu kita jaga. Hati ibaratnya pemimpin bagi organ tubuh yang lain, yang menjadi komando. Hati boleh sakit, buta bahkan mati jika semakin banyak berbuat maksiat. Hati ibarat cermin, semakin banyak bermaksiat maka semakin banyak noda titik-titik hitam di cermin itu. Atau bahkan mungkin tidak lagi titik-titik hitam tapi sudah jelaga hitam yang susah dibersihkan dan tidak boleh dipakai untuk bercermin lagi kerana sudah diselaputi. Begitu pula dengan diri kita, semakin banyak kita berbuat maksiat dan tidak bertaubat maka kita semakin terbiasa dengan kemaksiatan itu.

Salah satu yang menyebabkan kematian hati adalah banyak bercanda atau bergurau senda. Dibolehkan jika kita bergurau senda untuk menceriakan suasana atau menciptakan suasana ukhuwah. Tapi tetap memperhatikan adab-adabnya, perhatikan dengan siapa juga dan tidak berlebihan, apalagi adanya lelaki dan perempuan di dalam satu majlis, hati-hati!

Mari kita tengok diri kita, evaluasi diri kita, jika selama ini kita belum menjaga mata, mulut, telinga, hati dan organ tubuh kita yang lain dari kemaksiatan maka segeralah kita bertaubat dan istighfar diri, tidak ada kata terlambat untuk sebuah kebaikan. Seharusnya kita merasa sayang kalau tidak boleh tadarus Al-Quran meski hanya terlepas satu hari. Merasa sayang pula jika tidak boleh merasakan nikmatnya beribadah. Jika masih merasa sayang, maka jagalah diri kita, dan Insya Allah, Allah akan menjaga kita agar senantiasa boleh dekat dengan-Nya.


P/s: Masih belum terlambat...It's never late to change.....

Dipetik dari Laman ISMA.

Feb 3, 2011

.: Amalan :.


1. Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan dikabulkan – Riwayat Tirmidzi. Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.

2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitunganya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dan sebagainya dalam dirinya.

4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

5. ALLAH S.W.T akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat farhdu.

6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi S.A.W membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru diambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang berniat mandi(untuk solat jumaat) kemudian memakai pakaian terbaik dan wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.

9. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.

10. Uthman bin 'Affan R.A meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W apabila berwuduk, beliau membasahi janggutnya- Riwayat Tirmidzi

11. Nabi S.A.W tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, baginda makan dan sebaliknya baginda tinggalkan- Riwayat Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.

12. Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi S.A.W makan dengan menggunakan 3 jari(ibu jari telunjuk dan tengah)-Riwayat Muslim. Jarang sekali baginda makan dengan menggunakan 4 atau 5 jari kecuali ada keperluan.

13. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa berselawat walaupun sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH S.W.T seperti yang dihadapi oleh para Nabi.

14. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

15. Perbaharui wuduk setiap kali bersolat kerana padanya terdapat banyak fadhilat.
Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya- Riwayat Abu Dawud.

16. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

17. Nabi S.A.W sering menghadap ke kanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum.

18. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardhu.

19. Nabi S.A.W tidak makan sambil bersandar- Riwayat Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi mengelakkan dirinya terlalu kenyang dan memudahkan penghadaman.

20. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali setiap selesai solat subuh, Maghrib dan Isyak, ALLAH S.W.T akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

21. Nabi S.A.W sering beristinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung dan menghembuskannya). Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung.

22. Setelah bersolat Nabi S.A.W memohon ampun ( astagfirullahal'aziim) tiga kali-Riwayat Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi S.A.W adakalanya beristighfar 75 kali sehari.

23. Sesiapa yang menamalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, ALLAH S.W.T akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

24. Apabila Nabi S.A.W tidur, ia mendahulukan baring mengiring sebelah kanan – Riwayat Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah.

25. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH S.W.T segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNYA.

26. Tika Nabi S.A.W tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu ke seluruh tubuh)mohon perlindunganNYA) – Riwayat Bukhari

27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan ALLAH S.W.T.

28. Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi S.A.W menyarankan, cukup dengan membersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur.

29. Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

30. Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith: Sahabat melihat Nabi S.A.W berbaring di masjid dengan satu kakinya atas kaki yang lain (kerana bimbang terdedah aurat) – Riwayat Bukhari

31. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafa'at (pertolongan) daripada baginda S.A.W.

32. Adakalanya Nabi S.A.W amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah) – Riwayat Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh.

33. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi S.A.W dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

34. Setelah bersolat Nabi S.A.W memohon ampun (astagfirullahal'aziim) tiga kali – Riwayat Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi S.A.W. adakalanya beristighfar 75 kali sehari.

35. Nabi seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi S.A.W memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) – Riwayat Bukhari

36. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali setiap selepas menunaikan solat asar pada hari Jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

37. Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi S.A.W bersin, beliau meletakkan tangan atau pakaiannya di mulut (kerana dibimbangi terpercik) – Riwayat Abu Dawud

38. Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas rahmatNya.

39. Sabda Nabi S.A.W: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Riwayat Abu Naim

40. Nabi S.A.W tidak pernah menolak hadiah. Hadith: Nabi selalu terima hadiah dan amat menghargainya – Riwayat Bukhari

41. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH S.W.T akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

42. Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu dan jangan kamu sukarkannya – Muttafaq 'Alaih

43. Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith: Apabila kamu sekalian melihat jenazah ( yang diusung), maka berdirilah (sebagai tanda penghormatan) – Muttafaq 'Alaih

44. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tidak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

45. Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi S.A.W sering melakukannya ketika beroleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH S.W.T– Riwayat Abu Dawud

46. Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH S.W.T akan hajatnya.

47.Memberi salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi S.A.W (apabila mendatangi rumah sahabat) memberi salam hingga 3 kali – Riwayat Bukhari. Jika salamnya tidak berjawab, baginda beredar.

48. Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

49. Melakukan pekerjaan rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah- Riwayat Ad-Dailami

50. Para ulamak berpendapat, ALLAH S.W.T sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

Dipetik dari www.murabbi.net.

Jan 21, 2011

Kalau ingin,belajarlah....

Nice to share...:)


Kalau ingin dimaafkan, belajarlah untuk memaafkan.

Kalau ingin dihormati, belajarlah untuk menghormati.

Kalau ingin difahami, belajarlah untuk memahami.

Kalau ingin disedari, belajarlah untuk menyedari.

Kalau ingin disayangi, belajarlah untuk menyayangi.

Kalau ingin dikasihi, belajarlah untuk mengasihi.

Kalau ingin diterima, belajarlah untuk menerima.

Kalau ingin dihargai, belajarlah untuk menghargai.

Kalau ingin disenangi, belajarlah untuk menyenangi.

Bukan orang lain yang perlu berubah mengikut kehendak kita tetapi kitalah yang sebenarnya perlu mengubah diri kita.

Memuaskan hati semua orang itu tidak mudah tetapi berubah untuk memuaskan hati semua orang itu tidak mustahil.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan. InsyaAllah Dia akan permudahkan...


Life is simple when we make it simple.
Life is once. So,be kind to all people even they hurt u!
Don't worry Allah is alwayz be there for u....
Think optimist + forgiveness = happy life:)

Jan 20, 2011

.:.U-Turn Ke Jalan Yang Diredhai-Nya.:.


“Assalamualaikum, maaf cikgu, saya lambat”,
kata Aisyah yang terlambat ke kelas tambahannya pada petang itu. Cikgu Alif hanya tersenyum dan memberikannya helaian kertas latihan. Aisyah mengambil tempat duduk berhampiran dengan sahabat baiknya.

Firdaus yang dari tadi hanya tertunduk cuba meyakinkan hatinya yang dia tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Aisyah. Lama sudah dia memendam rasa. Dia sedar siapalah dia dibandingkan dengan Aisyah, seorang gadis yang cantik, bijak dan beragama.

Sepanjang mengenali Aisyah, jarang-jarang sekali dia melihat Aisyah berbual dengan lelaki lain, pakaiannya juga sentiasa menutup aurat, Perilakunya lemah-lembut, senyumannya manis. Itulah yang menarik hati Firdaus. Sedangkan Firdaus hanya seorang pelajar yang rendah akhlaknya, dia sendiri mengakui hal itu.Biarpun menuntut di sekolah agama, tetapi solatnya entah ke mana dan waktu-waktunya sering disibukkan dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

Suatu petang,Firdaus duduk berehat di halaman rumahnya sambil membaca majalah hiburan, dia memang tidak pernah ketinggalan dari segi hiburan. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan suara seorang perempuan memberi salam. Firdaus menghampiri pintu pagar. Hampir terkeluar biji matanya melihat Aisyah sedang berdiri sambil memegang bungkusan yang tidak tahu apa isinya.

“Ganggu ke? Maaf lah..ni mak saya suruh hantar kepada mak awak. Asyraf pulang ke kampung .” Firdaus hanya membalas dengan ucapan terima kasih. Mereka berbalas salam dan Aisyah berlalu pergi.

Asyraf... apakah kaitan Aisyah dan Asyraf? Semalaman Firdaus memikirkan perkara tersebut. Asyraf adalah rakan baiknya di kelas tambahan. Tetapi tidak pernah pula Asyraf menyebut tentang Aisyah. Dia akhirnya terlena. Dalam lenanya Aisyah bertandan lagi, cukup indah sekali baginya.

Keesokan paginya dia bangkit, bangkit dengan satu azam! Ya. Dia telah bertekad. Dia mahu meluahkan perasaannya kepada Aisyah. Dia mahu memiliki Aisyah. Tidak mahu terlambat, Aisyah tidak boleh dibiarkan jatuh ke tangan orang lain.Terketar-ketar tangannya menaip mesej menghulurkan salam perkenalan kepada Aisyah.

Seketika kemudian telefonnya berbunyi. Menandakan ada mesej yang diterima. Alangkah gembiranya dia apabila salam perkenalannya disambut mesra. Mereka terus berbalas mesej selama beberapa hari.

Bagi Aisyah tiada salahnya hanya berkawan. Tidak pula dia sedari maksud sebenar Firdaus. Aisyah juga mengagumi wajah tampan Firdaus, tetapi perasaan itu disembunyikan daripada sesiapa pun. Aisyah yakin dia pasti akan diejek lantaran perwatakan buruk Firdaus. Tiga hari selepas perkenalan mereka, Firdaus berjaya mengumpul kekuatan untuk meluahkan rasa hatinya kepada Aisyah.

“Saya nak tanya awak satu soalan, boleh?, “Apa dia?”, Aisyah membalas ringkas.

“Kalau saya nak couple dengan awak, awak nak tak?”, Terasa hampir gugur jantung Aisyah tatkala membaca mesej Firdaus itu.

Tidak disangka sejauh itu niat Firdaus. Dia buntu memikirkan jawapannya. Memang sepatutnya dia menjawab “tidak” dengan tanpa ragu- ragu. Bukan dia tidak tahu couple itu hukumnya haram. Tetapi hatinya terus mendesak untuk dia berkata ya.

Firdaus juga sudah berjanji untuk berubah jika Aisyah menerimanya. Dia meminta masa selama tiga hari daripada Firdaus untuk memberikan jawapan. Firdaus pula hanya bersetuju. Tetapi sebenarnya Firdaus hairan kerana sebelum ini gadis-gadis yang ”dilamarnya” pasti akan bersetuju tanpa berfikir panjang.

Tempoh tiga hari yang dipinta Aisyah sudah berakhir. Firdaus menghantar mesej meminta jawapan daripada gadis itu. Aisyah sudah bersedia dengan jawapannya. Firdaus menanti dengan penuh debaran sama ada dia dapat memiliki gadis yang dicintai dan dikaguminya. Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Terketar-ketar tangan Firdaus membuka mesej.

“Maaf, saya tak boleh. Saya tak tahu kenapa tetapi saya rasa takut.”

Firdaus hanya terkebil-kebil. Spontan jarinya menaip mesej.” Tapi kenapa?” dan mesejnya dibalas “ Sabda Rasulullah s.a.w “Barang siapa yang jatuh cinta, lalu menyembunyikannya dan memelihara kesucian dirinya serta bersabar sampai dia meninggal dunia, maka dia adalah seorang yang mati syahid.”

“Kuno betul...macam orang tua dulu-dulu je. Kau ingat kau cantik dan baik sangat ke? Sombong...memilih pulak. Jadi anak dara tua nanti baru kau tahu!”, bentak Firdaus dalam mesejnya.

Aisyah merenung telefon bimbitnya, dan tanpa disedari air matanya menitis. Bukan dia menyombong, dan bukan pula dia memandang rendah pada Firdaus.

Sejujurnya ada perasaan cinta yang dipendam, namun dia lebih cintakan Allah, Allah tetap cinta utamanya. Dia nekad untuk membuat perubahan dalam diri dan mengabaikan cinta dunia buat masa ini. Banyak lagi yang perlu diutamakan. Dia sedar masih jauh perjalanannya.

Setahun berlalu, Firdaus masih hanyut dalam dunianya sendiri. Dia masih belum dapat melupakan Aisyah. Baginya Aisyah seorang yang terlalu ekstrem dalam agama sehinggakan untuk bercouple pun dia takut, sedangkan pada zaman ini bercouple adalah trend masa kini. Baginya mereka masih boleh bercouple dan dalam masa yang sama, menjaga ada dan batas pergaulan mereka.

* * *

Suatu hari, Fitri, abang kepada Firdaus yang seorang pelajar perubatan di University of Bristol,UK pulang bercuti. Firdaus dan Fitri memang amat rapat sejak mereka kecil lagi namun kedua mereka mempunyai sikap yang sangat berbeza. Malam itu Firdaus datang ke bilik Fitri untuk berbual-bual dan melepaskan rindu. Firdaus berbaring di katil Fitri sambil termenung memandang syiling sementara menunggu Fitri yang sedang mandi.

Dari laptop Fitri lagu "UNIC-Atas Nama Cinta” berkumandang memenuhi ruang kamar itu. Firdaus hanya menikmati iramanya tanpa menghayati maknanya.

Tika mata
Diuji manisnya senyuman
Terpamit rasa menyubur harapan

Dan seketika
Terlontar ke dunia khayalan
Hingga terlupa singkat perjalanan
Tersedar aku dari terlena
Dibuai lembut belaian cinta

Rela aku pendamkan
Impian yang tersimpan
Enggan ku keasyikan
Gusar keindahannya
Merampas rasa cinta
Pada Dia yang lebih sempuna

Bukan mudah
Bernafas dalam jiwa hamba
Dan ku cuba
Menghindarkan pesona maya
Kerna tak upaya ku hadapinya
Andai murka-Nya menghukum leka

Diatas nama cinta
Pada yang selayaknya
Kunafikan yang fana
Moga dalam hitungan
Setiap pengorbanan
Agar disuluh cahaya redhaNya

Biar sendiri hingga hujung nyawa
Asal tak sepi dari kasih-Nya
Kerna sesungguhnya hakikat cinta
Hanya Dia yang Esa

Saratkan hati ini dengan cinta hakiki
Sehingga ku rasai
NikmatNya
SyurgaNya
CintaNya....

Tersentak Firdaus mendengar bait-bait kata lagu itu, seperti ada kaitan dengan dirinya. Bayangan Aisyah muncul di fikirannya, dia memainkan semula lagu itu dan kini dia betul-betul menghayati maksudnya. Pelbagai persoalan bertandang di kotak mindanya.

Sebaik sahaja Fitri selesai mandi, Firdaus segera bertanya kepada abangnya:

“Pit, kau kat sana tak ada girlfriend ke?”

“Hish kau ni, studytak habis lagi nak ada girlfriend apanya”.

“Kawan-kawan kau pun tak ada girlfriend?”

"Kawan-kawan aku adalah yang dah ada girlfriend.”

“Habis tu kau tak nak ada girlfriend? Muka kacak tak kan tak ada orang nak ? Ke sikit je Melayu kat sana?”

“Orang Melayu ramailah jugak. Tapi aku rasa ibu dan ayah tak bagi kot aku kahwin sekarang.”

“Pit! Alamak Pit. Aku bukan suruh kau kahwin la. Aku tanya ada tak kau couple dengan siapa-siapa.”

“Hish...Aku faham kau bukan suruh aku kahwin. Tapi tiada hubungan yang sah sebelum kahwin. Jodoh kita Allah dah tentukan.”

“Tapi kita kena lah cari,kan? Takkanlah jodoh datang macam tu je kat depan muka pintu?”

“Memang lah jodoh kena cari, tapi cari dengan cara yang diredhai Allah. Always remember my brother, matlamat tak menghalalkan cara. Tak pernah...”

“Habis tu macam mana nak jumpa jodoh kalau macam tu?”

Firman Allah SWT:

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga)."[Surah An Nur, ayat 26]

“Wow. Kau pergi sana jadi ustaz ke? Habis tu maksudnya aku akan dapat perempuan tak baik la? Sebab aku ni macam jahat je.”

“Mungkin ya, mungkin tidak. Allah yang merancang. Kadang-kala Allah jadikan sebaliknya untuk kita saling melengkapi.”

“Kau nak isteri macam mana Pit ?”

“Kalau boleh aku nak isteri yang cintakan aku, rindukan aku..Dan semuanya kerana Allah.

“Aduhai... hahaha! Lawaknya. Habis tu kalau tak cantik macam mana?”

“Cantik tu subjektif la. Bagi aku cantik yang sebenarnya tu cantik dalaman. Because it will never fade away. Kalau kau sayang dia sebab cantik luaran semata-mata, kecantikan tu tak kekal, cuba kau bayangkan muka dia masa umur 80-an, kau sayang dia lagi tak agak-agaknya masa tu? Sebab tu bukan perkara main-main nak cari isteri, kena minta pandangan Allah. Insyaallah boleh berkasih-sayang sampai ke syurga. Jadi ketua bidadari aku kat syurga nanti. Rumahtangga pun diberkati.”

“Habis tu kalau couple tu jahatlah?”

“Allah larang kita bercouple. Kenapa? Nah. Baca artikel ni” Kata Pit sambil menghulurkan helaian artikel yang menjelaskan hukum couple.

“Rasulullah SAW pun pernah bersabda, kalau kita mengahwini seorang perempuan kerana agamanya, nescaya beruntunglah kita, insyaAllah”, pesan Fitri lagi.

“Oh...okey. Apa-apa pun, terima kasih ye. Okey lah Pit, aku nak tidur dah ni. Selamat malam.”

Malam itu tidur Firdaus tidak lena. Artikel itu pun sudah beberapa kali dikhatamnya. Rasanya dia sudah faham mengapa Aisyah menolak cintanya. Rasanya Aisyah seorang yang berpandangan jauh. Jauh sampai ke akhirat, bukan untuk dunia semata-mata.

Semalaman dia tidak dapat tidur. Dia melangkah ke bilik Fitri untuk berbual lagi dengan abangnya itu. Dia tidak pasti sama ada Fitri sudah tidur atau belum. Jam menunjukkan sudah pukul tiga pagi.Jika dahulu, Fitri masih mentelaah pelajaran waktu ini. Berhati-hati pintu bilik Fitri dikuak, kelihatan Fitri sedang berteleku di atas sejadah.

Perlahan-lahan Firdaus menghampiri Fitri yang sedang khusyuk berdoa dalam esak tangis. Dalam doanya dia menyebut:

“ Ya Allah ya Tuhanku... KasihMu sentiasa segar dalam setiap hembusan nafasku. Betapa lemahnya hambaMu ini. kepadaMu kelak tempatku kembali, janganlah kau biarkan cintaku terhadap dunia yang menipu daya ini melebihi cintaku padaMu.”

Jantung Firdaus mulai berdegup kencang semasa mendengar luahan hati Fitri di dalam doanya. Firdaus segera berlari menuju ke biliknya, dia menangis sepuas hati , entah dari mana datangnya air mata yang begitu kuat sekali mengalir membasahi pipinya, dia juga kurang pasti. Yang dia tahu hatinya terasa tidak tenang, dia mempunyai segala-galanya namun masih terasa kekosongan.

Terasa betapa jauhnya dia dari Tuhan. Betapa lemahnya dia. Dia mengambil wuduk dan menghamparkan sejadah, berhabuk sejadah itu diselaputi kejahilannya. Dia menunaikan solat fardhu Isyak. Hatinya berasa sedikit tenang.

Esoknya, pagi-pagi lagi dia telah berjumpa Fitri.

“Pit, aku rasa macam nak berubah la.”

“Alhamdulillah. Gembira aku dengar, tapi tiba-tiba je?”, tanya Fitri sedikit kehairanan.

“ Sebenarnya semalam aku dengar kau minta ampun pada Allah, kenapa kau menangis? Aku rasa kau ni macam baik sangat. Tak macam aku ni...”

“ Baik la sangat kan. Daus, cuba bandingkan amalan kita dengan amalan para nabi dan sahabat, macam langit dengan bumi! Aku takut Allah tak terima taubat aku selama ini. Hari-hari macam-macam dosa aku buat, ada yang sedar, ada yang tak sedar. Itu tak termasuk lagi dosa masa zaman jahiliah aku dulu.”

“Kau tak rasa malu ke kalau ada orang tahu lelaki macho macam kau ni menangis malam-malam?”

“ Malu? Kenapa? Daus,memang malu tu sebahagian daripada iman, tapi malu kenalah bertempat. Hakikatnya malu itu tak mendatangkan sesuatu pun melainkan kebaikan . Bukan satu perkara yang memalukan pun.

Nabi Muhammad SAW, pemimpin umat, ketua negara. Baginda telah dijanjikan Allah tempat di syurga namun baginda masih beristighfar tidak kurang 100 kali sehari, kita macam mana? Baginda sembahyang sampai bengkak-bengkak kaki, kita pula?

“ Best ke menangis malam-malam ini.”

“ Best. Best sangat. Macam kau bercakap dengan seorang yang setia dengar tak kira apa pun masalah kau, tak kira masa. Yang tak hina kelemahan kau. Dia bagi kekuatan pula pada kau. Yang tak jemu dengar rintihan kau. Yang pujuk kau dengan janji-jani yang pasti. Yang suka dengar permintaan kau. Yang beri kau rezeki. Yang tahu apa yang terbaik untuk kau. Macam i tulah rasanya.”

“Ada ke orang yang macam tu?”

“Memang tak ada lah yang setia macam tu. Hanya Allah yang Maha mendengar. Allah dekat dengan kita.”

Allah berfirman:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. "[Al-Baqarah: 186]

Indahkan ayat-ayat Allah? Jadikan Allah sebagai kekasih kita, dan Quran adalah ayat-ayat cintaNya. 200% sure akan rasa bahagia lepas ni, sampai akhirat, selama-lamanya...insyaAllah.”

Fitri menghulurkan sebuah buku bertajuk tulisan Imam al-Ghazali yang telah diterjemahkan. Dia berasa cukup bahagia dengan minat adiknya untuk berubah. Dalam hatinya dipanjatkan doa agar adiknya terus istiqamah di jalan Allah.

“Kalau nak berubah kena kuat tau, macam-macam dugaan. Dunia ni penuh tipu daya. Bukan suruh kau abaikan dunia sampai tak belajar, tapi buat apa-apa pun mesti kerana Allah. Allah suruh kita teroka ilmu sedalam mungkin. Kena istiqamah tau. Apa-apa masalah rujuk la ustaz ke… atau orang-orang alim, jangan pergi tanya orang sesat pula.”

“Tak tua sangat ke aku ni nak u-turn semula?”.

“ Tua ke? Aku lagi tua. Umur baru 16 dah kata tua. Bro, never too old to learn, never too late to turn. Aku akan selalu doakan kau. Uhibbuka fillah khair kathira.”

“ Okey, thanks Pit. Kau memang understanding lah..,uhibbuka fillah aidhon. bluek!”, usik Firdaus sebelum melangkah keluar dari bilik Fitri.

Perubahan sikap Firdaus sedikit sebanyak telah menjadi perangsang kepada mereka untuk turut berubah. Buku itu mula dibelek-belek. Setiap helaian dihayati dengan penuh minat. Hatinya terasa tenang. Sedikit demi sedikit perubahan dilakukan dalam dirinya. Hobi lamanya yang tidak berfaedah sudah lama ditinggalkan.

Dia juga mula berdakwah kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Pada mulanya dia mendapat cemuhan, kata mereka Firdaus berubah untuk Aisyah, tetapi Firdaus tetap dengan prinsipnya kerana dia yakin Allah dekat dengannya dan Allah Maha Mengetahui niatnya.

Kecekalan dan ketabahan Firdaus berkat rahmat ilahi mendekatkan dirinya dengan cita-citanya untuk bergelar seorang doktor yang akan mampu merawat penyakit jasmani dan rohani bangsanya. Dia kini bergelar seorang graduan dari Universiti Ain Shams.Menunggu untuk melapor diri di Hospital Tengku Ampuan Fatimah, Pekan Pahang.

Tengahari tadi juga dia selamat diijab kabulkan dengan bidadari yang dinantinya sekian lama, Aisyah Humaira’ binti Ibrahim. Berkat bantuan kembar Aisyah, Asyraf Mukmin sebagai orang tengah. Malam itu mereka solat sunat pengantin baru bersama. Selesai solat, mereka bersalaman. Kelihatan permata jernih mengalir membasahi pipi Aisyah.

Dia turut sebak menahan tangis. Namun dengan tenang dia mengawal perasaan.

“Kenapa Humaira’ menangis? Humaira’ sedih ke?”

“Bukan Abang, Humaira’ bersyukur sangat. Kasihnya Allah pada kita, disimpulkan kita dengan ikatan suci. “Abang pun gembira sangat Humaira’, Allah kurniakan abang bidadari yang sangat cantik, cantik segala-galanya. Lengkap separuh agama abang. alhamdulillah... ”

Seinfiniti kesyukuran dipanjatkan buat Ilahi. Tempat datang dan kembalinya segala nikmat. Tempat selayaknya dikembalikan segala puji-pujian. Benarlah hidayahNya disalurkan melalui pelbagai cara, alhamdulillah...

.:PuT TrusT in ALLAH:.

Dipetik dari iluvislam.com.


Jan 13, 2011

Kesilapan lalu Kekuatan Hari ini..

Bismillahirrahmanirrahim...

Untuk kali yang ke berapa aku cuba untuk melakarkan sesuatu di blog ini ,namun jari-jemariku seakan kaku dan terhenti. Benar kata seorang sahabat,keupayaan kita untuk membuat perkongsian itu sukar jika keadaan iman kita tidak berapa sihat. Dan kini kuakui kata-kata itu.

Sesungguhnya kami terjaga di pagi hari dengan kesedaran bahawa Kerajaan bumi dan segala isinya ini seluruhnya adalah milik Allah. Dan segala puji bagi Allah,tiada sekutu baginya tiada Tuhan selain Dia dan kepada-Nya kami dibangkitkan.

Alhamdulillah. Sungguh kuakui bahawa kekuatan iman ini sangat mempengaruhi prestasi harian seseorang muslim itu dalam setiap amalannya. Aku bukanlah manusia kalis dosa. Aku juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari membuat dosa. Dia tidak berhenti-henti mengujiku silih berganti dan aku yakin ujian itu adalah tarbiyah langsung dari-Nya untuk menguatkan imanku dan mendekatkan lagi aku dengan-Nya. Sungguh murni percaturan Ilahi. Disakitkan aku seterusnya dimanja-manja dengan suatu nikmat yang tidak terduga. Saat itu barulah aku tersedar bahawa Dia sentiasa memerhatikan gerak-geriku dan sentiasa bersamaku tidak kira di saat suka atau duka. Segala puji bagi Allah Tuhan yang menguasai seluruh alam.

Hari ini aku bangkit lagi. Memohon dan menagih secebis kekuatan dari-Nya agar aku tidak terus lemah dalam perjuangan hidup ini. Kuakui aku insan lemah. Hampir jatuh dan tersungkur...mujurlah ada Allah yang sentiasa melindungi. Aku tahu Dia sentiasa mentakdirkan sebegitu jalan hidupku agar aku lebih dekat dengan-Nya. Apalah sangat jika membandingkan ujian yang diberikan oleh-Nya kepadaku berbanding dengan insan-insan lain yang lebih hebat diuji. Kejutan demi kejutan diberikan oleh Allah kepadaku..Kadangkala dan seringkali aku terasa sangat lemah dan hampir rebah kerana terpaksa menanggungnya sendirian. Bersendirian tidak bermakna keseorangan. Hakikatnya Allah sentiasa ada untuk aku mengadu dan meminta pertolongan. Alhamdulillah,Dia mengurniakan aku sahabat2 yang baik dan memahami untuk memulihkan semangatku yang kadangkala pudar. Dan aku masih bisa tersenyum dan ketawa biarpun hidup ini kadangkala payah dan menyeksa jiwa. Ahh...biarkan semua itu berlalu..aku perlu redha dengan setiap ketentuan Ilahi. Aku perlu optimis dalam hidup! Hanya Dia yang mengerti.

Allah sentiasa memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya. Manusia tidak akan pernah berpuas hati dengan hidupnya. Namun sedarlah kita bahawa percaturan Allah itulah yang terbaik. Aku seringkali menghukum diriku di atas kesilapan yang kulakukan. Hakikatnya semua itu dari Allah. Sengaja Dia mentakdirkan sedemikian rupa untuk kita mengambil pengajaran dari-Nya. Kesilapan lalu kekuatan hari ini.Kita sebagai manusia tidak mampu untuk menjadi sempurna walau telah berusaha sedaya upaya. Kadangkala 'ketidaksempurnaan' itu yang akan menyebabkan wujudnya perasaan rendah diri dan meningkatkan lagi rasa kehambaan kepada Ilahi.

Yang ku harapkan cuma diriku ini menjadi solehah di sisiNYA. Aku tidak ingin sekali menjadi solehah di mata manusia. Bagiku, manusia itu tidak punya hak untuk menilai kerana kita ini hamba yang lemah. Segala kekurangan dan kelebihan kita sendiri sudah membuktikan bahawa kita ini hak milik Pencipta yang agung. Serahkanlah segala urusan hanya kepadaNYA. Nescaya hati akan lebih tenteram. Betapa sukarnya untuk menggapai gelaran solehah, namun itu adalah impian setiap muslimah.

Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.

Keayuan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya,
Kemanisan wanita solehah, tidak terletak pada kemanjaannya,
Daya penarik wanita solehah itu,
Bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin,
Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu,
Bukan dan tidak sama sekali.

Kepetahan wanita solehah,
Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.

Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam,
Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandai dari segala aspek ,
Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya,
Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.

Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran,
Kerna satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman ,
Agar diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat Ilahi.

Wahai wanita jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai ,
Kerna ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darimu ,
Wahai wanita jangan pula berdukacita atas kekurangan dirimu,
Kerna ada lagi insan yang lebih malang darimu.

Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya ,
Bersyukurlah diatas apa yang ada,
Serta berusaha demi keluarga, bangsa dan agama.


Kutitipkan bait-bait indah ini khususnya buat diriku dan semua muslimah...

" Ya Allah,izinkan kami menjadi sekuntum bunga dengan kelopak akhlak mulia,harum wanginya dengan ilmu agama,cantiknya kerana iman dan takwa. Namun keindahan zahirnya disimpan rapi,biar menjadi rahsia yang kekal abadi,bukan perhatian mata ajnabi,yang menjadi punca fitnah hati dari lelaki yang berjiwa sepi. Wajah kami bukan mengundang dosa,timbulkan duri yang memagari diri agar terpelihara dari noda duniawi yang menghilangkan haruman sejati,yang memudarkan kecantikan diri untuk Kau calonkan kami sebagai bidadari syurga-Mu...ameen."


Moga setiap sisa waktu yang tertinggal dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Moga Allah redha.~

Dec 27, 2010

.: 11 Golongan yang Didoa Malaikat :.

Dalam menjalani kehidupan sehari-hari,pelbagai ujian dan cubaan yang dihadapi. Rohani dan jiwa kita memerlukan kekuatan yang secukupnya bagi berhadapan dengan segala dugaan itu.Beruntunglah bagi mereka yang didoakan oleh malaikat kerana keistimewaan itu pastinya ada.Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa:
"Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya:
'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka:
"Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan
mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.' "

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata:
'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang melawat orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang
hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

.: Moga kita termasuk dalam golongan yang didoakan oleh malaikat. Ameen Ya Rabb!~