Untuk kali yang ke berapa aku cuba untuk melakarkan sesuatu di blog ini ,namun jari-jemariku seakan kaku dan terhenti. Benar kata seorang sahabat,keupayaan kita untuk membuat perkongsian itu sukar jika keadaan iman kita tidak berapa sihat. Dan kini kuakui kata-kata itu.
Alhamdulillah. Sungguh kuakui bahawa kekuatan iman ini sangat mempengaruhi prestasi harian seseorang muslim itu dalam setiap amalannya. Aku bukanlah manusia kalis dosa. Aku juga manusia biasa yang tidak dapat lari dari membuat dosa. Dia tidak berhenti-henti mengujiku silih berganti dan aku yakin ujian itu adalah tarbiyah langsung dari-Nya untuk menguatkan imanku dan mendekatkan lagi aku dengan-Nya. Sungguh murni percaturan Ilahi. Disakitkan aku seterusnya dimanja-manja dengan suatu nikmat yang tidak terduga. Saat itu barulah aku tersedar bahawa Dia sentiasa memerhatikan gerak-geriku dan sentiasa bersamaku tidak kira di saat suka atau duka. Segala puji bagi Allah Tuhan yang menguasai seluruh alam.
Hari ini aku bangkit lagi. Memohon dan menagih secebis kekuatan dari-Nya agar aku tidak terus lemah dalam perjuangan hidup ini. Kuakui aku insan lemah. Hampir jatuh dan tersungkur...mujurlah ada Allah yang sentiasa melindungi. Aku tahu Dia sentiasa mentakdirkan sebegitu jalan hidupku agar aku lebih dekat dengan-Nya. Apalah sangat jika membandingkan ujian yang diberikan oleh-Nya kepadaku berbanding dengan insan-insan lain yang lebih hebat diuji. Kejutan demi kejutan diberikan oleh Allah kepadaku..Kadangkala dan seringkali aku terasa sangat lemah dan hampir rebah kerana terpaksa menanggungnya sendirian. Bersendirian tidak bermakna keseorangan. Hakikatnya Allah sentiasa ada untuk aku mengadu dan meminta pertolongan. Alhamdulillah,Dia mengurniakan aku sahabat2 yang baik dan memahami untuk memulihkan semangatku yang kadangkala pudar. Dan aku masih bisa tersenyum dan ketawa biarpun hidup ini kadangkala payah dan menyeksa jiwa. Ahh...biarkan semua itu berlalu..aku perlu redha dengan setiap ketentuan Ilahi. Aku perlu optimis dalam hidup! Hanya Dia yang mengerti.
Allah sentiasa memberikan yang terbaik untuk hamba-Nya. Manusia tidak akan pernah berpuas hati dengan hidupnya. Namun sedarlah kita bahawa percaturan Allah itulah yang terbaik. Aku seringkali menghukum diriku di atas kesilapan yang kulakukan. Hakikatnya semua itu dari Allah. Sengaja Dia mentakdirkan sedemikian rupa untuk kita mengambil pengajaran dari-Nya. Kesilapan lalu kekuatan hari ini.Kita sebagai manusia tidak mampu untuk menjadi sempurna walau telah berusaha sedaya upaya. Kadangkala 'ketidaksempurnaan' itu yang akan menyebabkan wujudnya perasaan rendah diri dan meningkatkan lagi rasa kehambaan kepada Ilahi.
Yang ku harapkan cuma diriku ini menjadi solehah di sisiNYA. Aku tidak ingin sekali menjadi solehah di mata manusia. Bagiku, manusia itu tidak punya hak untuk menilai kerana kita ini hamba yang lemah. Segala kekurangan dan kelebihan kita sendiri sudah membuktikan bahawa kita ini hak milik Pencipta yang agung. Serahkanlah segala urusan hanya kepadaNYA. Nescaya hati akan lebih tenteram. Betapa sukarnya untuk menggapai gelaran solehah, namun itu adalah impian setiap muslimah.
Wanita solehah itu aurat dijaga,
Pergaulan dipagari,
Sifat malu pengikat diri,
Seindah hiasan di dunia ini.
Keayuan wanita solehah itu, tidak terletak pada kecantikan wajahnya,
Kemanisan wanita solehah, tidak terletak pada kemanjaannya,
Daya penarik wanita solehah itu,
Bukan pada kemanisan bicaranya yang mengoncang iman para muslimin,
Dan bukan pula terletak pada kebijaksanaannya bermain lidah, memujuk rayu,
Bukan dan tidak sama sekali.
Kepetahan wanita solehah,
Bukan pada barang kemas atau perihal orang lain,
Tapi pada perjuangannya meningkatkan martabat agama.
Nafsu mengatakan wanita cantik dengan paras rupa yang indah bak permata yang menyeri alam,
Akal mengatakan wanita cantik atas kemajuan dan kekebalannya dalam ilmu serta pandai dari segala aspek ,
Hati menyatakan kecantikan wanita hanya pada akhlaknya,
Itupun seandainya hati itu bersih untuk menilai.
Wahai wanita jangan dibangga dengan kecantikan luaran,
Kerna satu hari nanti ianya akan lapuk di telan zaman,
Tetapi jaga dan peliharalah kecantikan dalaman ,
Agar diri ini bersih dan sentiasa mendapat Rahmat Ilahi.
Wahai wanita jangan berbangga dengan ilmu duniawi yang kau kuasai ,
Kerna ada lagi manusia yang lebih berpengetahuan darimu ,
Wahai wanita jangan pula berdukacita atas kekurangan dirimu,
Kerna ada lagi insan yang lebih malang darimu.
Wahai wanita solehah jangan dirisau akan jodohmu,
Kerana muslimin yang bijaksana itu tidak akan terpaut pada wanita hanya kerana kecantikannya ,
Bersyukurlah diatas apa yang ada,
Serta berusaha demi keluarga, bangsa dan agama.

Kutitipkan bait-bait indah ini khususnya buat diriku dan semua muslimah...
Moga setiap sisa waktu yang tertinggal dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Moga Allah redha.~








0 comments:
Post a Comment