Feb 5, 2010

**Muhasabah Diri**

Bismillahirrahmanirrahim….

Semoga kita semua berada dalam keadaan sihat walafiat hendaknya dalam menelusuri mehnah dan ujian di dunia ini. Kita hendaklah sentiasa beringat bahawa Allah sememangnya mendatangkan ujian kepada hambanya bagi menilai sejauh mana hambanya ini memikul dan menyelesaikannya hingga sampai ke satu tahap bahawa kita merasakan 'MANIS'nya ujian itu.

Sesungguhnya memperbaiki diri bukan satu kerja yang mudah apatah lagi terpaksa melalui jalan yang agak sukar sehingga sampai ke satu destinasi yang selamat yang dimimpi-mimpikan oleh semua jiwa yang suci. Jiwa seseorang itu adalah jiwa yang suci lagi murni jika terdetik untuk mengubah diri dari segala kekotoran jiwa sebelum ini kepada jiwa yang putih laksana salju pada kedinginan musim sejuk. Adakah kita rasa 'SENSITIF' terhadap peribadi kita ?Bukti sensitifnya kita terhadap diri kita adalah kita sentiasa muhasabah diri kita. Orang yang selalu muhasabah ialah orang yang sensitif terhadap dirinya. Agaknya bagaimana muhasabah diri itu berlaku?

Muhasabah diri adalah sama dengan menghitung diri.Tiap-tiap hari MUHASABAH DIRI mesti berlaku. Kita menghitung segala apa yang kita lakukan pada hari tersebut. Hari ini banyak mana kebaikan yang kita lakukan . Banyak mana kejahatan yang kita lakukan. Apa yang penting kita digalakkan agar JANGAN mengingati segala kebaikan yang kita telah buat seharian. Jangan selalu ingat dan ungkit-ungkit perkara kebaikan yang kita buat kerana ingatan sedemikian itu akan melahirkan satu rasa yang negatif. Iaitu kita akan rasa bahawa kita sentiasa dalam kebaikan dan mungkin datang perasaan bangga yang merasakan kita ini baik dan berperibadi mulia. Inilah bahayanya. Seterusnya kita akan berkurangan melakukan kebaikan dan malas membuat kebajikan lagi kerana berasa cukup dengan kebaikan yang telah dilakukan sebelum ini.

Kita digalakkan untuk berfikir dan mencari ruang kebaikan yang akan kita buat pada hari esok dan berikutnya. Kita mesti fikir tentang itu. Maksudnya esok mesti ada kebaikan yang kita lakukan. Ruang untuk kita melakukan kebaikan ada yang datang secara kita tak terjangka dan ada yang sudah kita jangka. Yang kita jangka seperti , selepas solat Subuh,kita membaca AlQuran, berzikir, berwirid dan lain2 kebaikan. Yang kita tak jangka seperti ada peminta sedekah yang meminta sedekah di luar masjid, ada orang buta yang kehilangan peneman jalan dan ada mak cik tua yang tak mampu memikul beban barang yang dibawa. Semua itu "BONUS' dari Allah buat kita sebagai ruang mencari kebaikan. Di situlah kita menabur kebaikan. Mana kita sangka , ada orang buta itu datang sebagai 'bonus' pada kita. Tetapi ia adalah ujian Allah buat manusia untuk melihat apa tindakan kita. Pahala tersembunyi melalui orang buta itu. Kalau kita tak buat, maka hilanglah 'bonus' itu ..Kesimpulan dari perkara ini ialah kita mesti berfikir akan kebaikan yang akan kita lakukan dan JANGAN sekali-kali kita fikir atau mengungkit-ungkit kebaikan yang telah kita lakukan !

Manakala perkara kejahatan pula adalah kita tak payah susah-susah pikir atau merancang sesuatu kejahatan .. Siapa yang beranggapan seperti itu bermaksud hatinya kotor! Nauzubillah...

Sebagai muslim sejati,kita perlu sentiasa merenung dan memikirkan kembali dosa-dosa dan kejahatan yang telah kita lakukan. Selepas berfikir itu, kita mestilah susuli dengan rasa penyesalan dan bertaubat untuk tidak kembali lagi ke desa kekotoran dan kejahatan tadi. Yang lepas tu biarlah berlalu. Tapi janganlah kita tanam cita-cita untuk mengulangi kejahatan yang sama.Mohonlah keampunan daripada ALLAH sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih.

Semoga ALLAH mengampuni dosa-dosa kita. Mudah-mudahan kita diberikan hati yang suci nan bersih serta jiwa yang penuh dengan ketenangan dan sentiasa berada di jalan yang diredhai-Nya.....ameen.


0 comments: