Subhanallah,alhamdulillah,Allahuakhbar!
"...Kita undur selangkah ke belakang, untuk melonjak beberapa langkah ke hadapan. Merenung kesilapan dan kesalahan silam, betapa dungunya dan terburu-burunya sikap kita yang selalunya sangat merugikan.Akibatnya, sering kita kehilangan sahabat terapat. Renggang dengan orang tersayang. Dan yang paling tragis kehilangan rasa hati yang lembut, halus dan beradab.
Namun, segera teringat kata-kata pengukuhan yang bersemi dalam hati (terutamanya akhir-akhir ini), “sebaik sahaja mengambil pelajaran daripada masa silam… lupakan dan pandanglah masa depan – yesterday ended last night!
Jika punya kesempatan carilah ruang untuk memohon maaf, memohon doa dan melakukan amalan-amalan baik sebagai penebus kesalahan silam. Jika tidak, bertekadlah untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan ia trauma yang menghalang pencapaian kita hari ini dan esok. Menyesal itu baik, tetapi ia bukan belenggu yang menghalang kita untuk mencipta kebaikan dan kecemerlangan baru.Ya, pagi ini mentari masih bersinar, awan gemawan masih mewarnai dada langit dan udara masih dapat kita hirup seadanya. Alhamdulillah syukur… Apapun yang akan berlaku, asalkan kita dekat dengan Allah, lurus, tulus dan telus dalam hati, kesilapan kita akan diperbaiki. Bukankah kesilapan ini bukti yang kita masih manusia? Lalu kita akan selalu dan sentiasa memperperbaharui taubat. Come what may… pahit, kita belajar bersabar, manis… kita melatih diri bersyukur.
Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita berusaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk.
Pesan ku buat diri dan sahabat-sahabat, kekalkan taubat. Istighfar dan selawat jadikan basahan bibir. Bila terlintas dan terjebak dengan dosa, bertaubat dan terus ‘hukum’ diri dengan melaksanakan satu kebaikan walaupun yang kita tidak suka. Ingat, orang yang sentiasa berlatih untuk berjaya ialah dia yang melaksanakan sekurang-kurangnya 3 perkara yang tidak disukainya (walaupun sangat perlu) dalam satu hari.
Apakah 3 perkara itu? Mungkin minta maaf kepada orang yang kita tidak sukai, mungkin membuat aktiviti yang selama ini kita tangguhkan atau membuat panggilan kepada orang yang kita berhutang (sudah lebih masa tetapi belum berbayar). Carilah, carilah 3 perkara itu. Mungkin yang bersangkut dengan masa, harta, manusia atau dengan Allah. Ah, matahari telah cerah… mari kita melangkah. Tinggalkan segala resah. Pamitkan segala gelisah.
Hidup untuk memberi, bukan untuk membenci… siap siaganya untuk memberi senyuman, kebaikan, sedekah, kata-kata yang baik atau sekadar mendoakan.Memberi itu lebih membahagiakan daripada menerima. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti berbau harum. Jadilah tangan yang di atas, tangan yang selalu dan banyak memberi!
Ya, mentari kehidupan masih ada. Hari ini… esok? Belum tentu kita masih ada! ...." -Ustaz Pahrol Mohd Juoi.
***
Tiba-tiba teringat ayat-ayat Allah. Allah S.W.T berfirman,
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh,ia musuh yang nyata bagimu. (Surah al-Baqarah:208)
"Masuklah Islam secara keseluruhan..." Hatiku berbisik,"Inilah masanya untuk berubah. Harus kukikis habis-habisan karat-karat jahiliah yang masih melekat dalam diri!
Bagaimana?
Jagalah mutaba'ah amal.InsyaAllah...lagi..seperti kata Ustaz Pahroi di atas, kekalkan taubat,istigfar dan selawat jadi basahan bibir...insyaAllah,kerapkan diri beristigfar. Mohon keampunan daripada Allah semoga diampuni dosa-dosa lalu. Banyakkan amalan2 sunat. Bacaan ma'thurat pagi dan petang jangan tinggal,berpuasa sunat Isnin dan Khamis paling kurang sebulan 1x,tilawah sekurang2nya 1muka surat sehari ( slalu kuingatkan adik2ku)...dan..latihlah diri untuk bangun berqiamullail...
"Dan pada sebahagian malam,lakukanlah solat tahajud (sebagai suatu ibadah) tambahan bagimu,mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji. ( Surah Al-Isra':79)
Kawan, harus kau ketahui bahawa sebagai manusia biasa,aku bukanlah kalis dosa..aku bukannya Rasulullah S.A.W yang maksum dan aku bukannya malaikat! Walaupun aku bertudung labuh dan join usrah ,tapi itu tidak bermakna aku tidak pernah buat silap! Tidak! Aku juga manusia biasa yang banyak melakukan kesilapan...cukuplah kesilapan2 lalu yang banyak mengajar diri,paling penting takkan kuulangi lagi kesilapan semalam!
Sentiasalah memohon kepada Allah semoga diampuni dosa-dosa lalu dan terpelihara daripada melakukan sebarang noda...
" Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya,mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai,pada hari ketika Allah tidak mengecewakan Nabi dan orang-orang beriman bersama dengannya; sedang cahaya memancar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, sambil mereka berkata ." Ya Tuhan kami,sempurnakanlah untuk kami cahaya kami dan ampunilah kami,sungguh, Engkau Maha berkuasa atas segala sesuatu." (Surah At-Tahrim:8)
"Selagi bernama manusia tiada yang sempurna."
Benar,itu lumrah manusia. Namun,jangan jadikan itu sebagai alasan untuk kita berubah menjadi baik dan lebih baik. InsyaAllah,moga aku terus diberi kekuatan dan kesempatan untuk terus memperbaiki kelemahan diri...
"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Alah dan ucapkanlah perkataan yang benar, nescaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya,maka sungguh,dia menang dengan kemenangan yang agung." ( Surah Al-Ahzab: 70-71)Wallahu'alam.









0 comments:
Post a Comment