
Al-Ma’thurat merupakan wirid dan doa harian yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah SAW.Ia dikumpul dan disusun oleh al-Imam As-Syahid Hasan Al-Banna berdasarkan dalil-dalil yang sahih dan berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Wirid, doa, zikir dan istighfar di dalam Al-Ma’thurat jika dibaca secara konsisten dan istiqamah akan memantapkan jiwa dan dapat mendidik hati agar sentiasa merindui Allah SWT di samping akan memberi kelapangan hidup dan kesihatan jasmani.
Orang yang mengamalkan zikir Al-Ma’thurat akan merasakan perbezaan dari hari-hari yang tidak dimulakan dengannya. Begitulah antara kekuatan doa dan wirid di dalam Al-Ma’thurat. Bagi seorang mukmin masanya tidak boleh berlalu begitu sahaja. Di waktu pagi dan petang ia hendaklah sentiasa bertasbih, beristighfar, bertahmid dan berdoa kepada Allah SWT dengan zikir yang ma’thur (yang berasal dari Nabi SAW).
Kelebihan membaca Al Mathurat:
1. Tidak dihampiri syaitan
2. Rumah dan keluarganya terselamat dari perkara yang tidak diingini.
3. Allah mencukupkannya apa yang sangat diperlukan dari urusan dunia dan akhirat.
4. Orang yang membacanya kemudian dia mati pada hari atau malam tersebut maka Allah akan menjamin untuknya syurga.
5. Selamat dari segala sesuatu.
6. Allah menyempurnakan nikmatnya ke atas orang yang membacanya.
7. Allah berhak untuk meredhainya
8. Tidak ada sesuatu yang mendatangkan mudarat ke atasnya.
9. Terhindar daripada syirik.
10. Selamat dari bisa atau sengatan semua makhluk yang beracun.
11. menyelesaikan hutang-hutang.
12. Berhak untuk mendapat syafaat pada hari Kiamat.
13. Sesiapa yang membaca di waktu pagi,akan dipelihara oleh Allah hingga ke waktu petang.Dan sesiapa yang membacanya di waktu petang akan dipelihara hingga ke waktu pagi.
14.Mengamalkannya umpama mengamalkan Sunnah Rasulullah dari sudut zikir dan berdoa, dan berbagai lagi kelebihan.
Nabi SAW merupakan insan yang paling tahu mengenai Tuhannya. Ia telah mengajarkan kepada kita ungkapan-ungkapan yang cukup indah dan mendalam dalam bentuk zikir, doa, syukur, tasbih dan tahmid dalam setiap keadaan, dalam urusan yang kecil, besar, mulia dan hina. Rasulullah (s.a.w.) sentiasa mengingati Allah dalam setiap keadaan.Justeru, sama-samalah kita mencontohi sunnah nabi, mengamal dan menghafal zikir-zikir yang diajar oleh nabi s.a.w sebagai cara untuk menghampirkan diri kepada Allah.








0 comments:
Post a Comment